AHMAD Amzad membuat ujian Covid-19 di HSNZ Kuala Terengganu, malam tadi. FOTO ihsan FB Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
AHMAD Amzad membuat ujian Covid-19 di HSNZ Kuala Terengganu, malam tadi. FOTO ihsan FB Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman bersama tiga pegawai kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut menjalani kuarantin wajib.

Mereka yang sebelum itu bersama Ahmad Samsuri ke Sabah menjalani kuarantin sendiri sebaik pulang dari negeri berkenaan.

Tuan Faezah dan tiga pegawai Ahmad Samsuri sudah menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RRT-PCR) Covid-19 dan disahkan negatif pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, mereka perlu menjalani ujian kali kedua pada 3 Oktober ini.

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari selepas berlaku kontak dengan dua individu positif Covid-19 beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim turut mengambil langkah awal dengan melakukan ujian Covid-19 secara sukarela demi keselamatan orang ramai di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) malam tadi.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, langkah itu diambil selepas berkunjung ke Kota Kinabalu, Sabah pada 22 September lalu.

"Dalam pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) ekoran peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh 20 hingga 25 September, kerajaan mewajibkan saringan Covid-19 bermula 27 September kepada semua yang pulang dari Sabah.

"Saya ke Kota Kinabalu, bukan dikategorikan kawasan berisiko tinggi dan saya pula tiada sebarang gejala, berasa cukup sihat dan kehadiran saya di Kota Kinabalu selama 24 jam mulai petang 22 September dan pulang ke Kuala Lumpur petang 23 September 2020 dikawal SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.

"Semua menghampiri saya dikenal pasti oleh anggota keselamatan yang menjaga saya dengan baik di Kota Kinabalu.

"Jika diminta kuarantin diri, Insya-Allah saya akur dan difahamkan biasanya jika tiada apa apa dan tiada kontak rapat, aktiviti boleh berjalan seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 11:00 AM