Ibu mangsa Laili Jusoh (dua dari kiri) menaiki bot Bomba dan Penyelamat pada Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Pahang dekat Kampung Marhum. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Ibu mangsa Laili Jusoh (dua dari kiri) menaiki bot Bomba dan Penyelamat pada Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Pahang dekat Kampung Marhum. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang hilang ketika menaiki bot getah di Sungai Pahang berdekatan Kampung Marhum, di sini, semalam sedang dilaksanakan, hari ini.

Ketua Zon Satu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Penguasa Kanan Bomba 1 Amirudin Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.24 malam semalam.

Menurutnya, operasi mencari mangsa Mohd Jafri Bakri, 32, tidak dapat dijalankan malam semalam berikutan keadaan gelap di lokasi.

Katanya, pemantauan lokasi mendapati tempat mangsa dipercayai terjatuh hanya di kawasan tebing sungai sahaja.

"Maklumat awam mendapati mangsa menaiki bot getah adik iparnya sendirian kira-kira 9 pagi semalam untuk Kampung Pulau Tambun bagi membantu rakannya yang akan berpindah.

"Bot mangsa dijumpai berpusing di tengah Sungai Pahang berhampiran jeti nelayan Kampung Marhum oleh nelayan yang menariknya ke tepi.

Mangsa Mohd Jafri Bakri hilang dipercayai terjatuh dari bot di Sungai Sungai Pahang dekat Kampung Marhum.
Mangsa Mohd Jafri Bakri hilang dipercayai terjatuh dari bot di Sungai Sungai Pahang dekat Kampung Marhum.

"Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis pada malam semalam selepas mangsa tidak pulang," katanya yang mengetuai SAR berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang menetap di Perumahan Komuniti Kuala Pahang difahamkan bekerja sebagai tukang rumah dan pernah menjadi nelayan.

Katanya, SAR membabitkan sembilan anggota menggunakan dua bot dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

"Kita akan meneruskan SAR membabitkan kawasan sepanjang Sungai Pahang dan kuala Sungai Pahang, di mana ia bergantung kepada paras air di kawasan mangsa dipercayai terjatuh," katanya.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati keluarga mangsa sabar menunggu di tepi sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 2:55 PM