BUKHARI yang dikhuatiri lemas. FOTO Aizat Sharif
BUKHARI yang dikhuatiri lemas. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Penganggur dikhuatiri lemas selepas hilang dari bot nelayan yang dinaikinya di perairan Sungai Bahru, Simpang Empat, di sini semalam.

Mangsa, Bukhari Yusof, 45 dari Kampung Paya Mengkuang, Langkawi, Kedah dipercayai terjatuh dari bot nelayan ketika kru bot sedang sibuk menangkap siput retak seribu di sekitar perairan Perlis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, kejadian bermula Isnin lalu apabila mangsa dipercayai menyelinap masuk ke kabin bot nelayan kelas A di Jeti Nelayan Kuala Kedah untuk tidur.

"Kira-kira jam 7 petang hari berkenaan, tiga nelayan termasuk dua awak-awak menaiki bot untuk keluar menangkap siput tanpa menyedari mangsa berada dalam kabin bot itu.

"Kehadiran mangsa yang tidak dikenali nelayan berkenaan hanya disedari apabila bot itu sudah bergerak menghampiri kawasan Titi Tok Arab, Kuala Sungai.

"Disebabkan kesuntukan masa, nelayan terbabit mengambil keputusan membawa mangsa dalam bot berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Gerakan Operasi dan Menyelamat (SARS) Sungai Baru, Simpang Empat, di sini hari ini.

BAEYAH menunjukkan gambar bot nelayan  yang ditumpang mangsa. FOTO Aizat Sharif,
BAEYAH menunjukkan gambar bot nelayan yang ditumpang mangsa. FOTO Aizat Sharif,

Beliau berkata, sebaik tiba di kawasan tiga batu nautika dari pantai Sungai Baru, nelayan berkenaan mula menangkap siput retak seribu tanpa menghiraukan kehadiran mangsa.

Menurutnya, disebabkan tidak mahu mengganggu aktiviti nelayan bot yang ditumpanginya, mangsa kemudian beralih ke pelantar tingkat dua bot itu untuk melelapkan mata sekali lagi.

Bagaimanapun, kira-kira 1 pagi semalam, nelayan mendapati mangsa tiada dalam bot dan mereka mencari selama dua jam di lokasi berkenaan, namun mangsa gagal ditemui.

"Walaupun bot sedang berlabuh ketika itu, nelayan tidak nampak atau mendengar sama ada mangsa terjatuh atau sebaliknya kerana deruman enjin bot yang kuat.

"Selepas gagal menemui mangsa, mereka mengambil keputusan pulang semula ke Jeti Nelayan Kuala Kedah dan membuat laporan polis," katanya.

Baeyah berkata, susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula jam 6 petang semalam yang disertai polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Kawasan pencarian sudah diperluaskan sehingga 73.2 kilometer persegi yang turut dibantu enam bot nelayan dari Persatuan Nelayan Kuala Kedah dan Kuala Sanglang.

"Keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian. Menurut saksi iaitu nelayan dalam bot berkenaan, mangsa tidak banyak berbual dan lebih banyak tidur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 6:36 PM