UNIVERSITI Utara Malaysia
UNIVERSITI Utara Malaysia
Noorazura Abdul Rahman


Sintok: Universiti Utara Malaysia (UUM) buat pertama kalinya menerusi Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) disenaraikan dalam QS World University Rankings (QSWUR): Global MBA 2021 dengan berada di kedudukan ke-201+, sekali gus meletakkan UUM di tangga ke-27 terbaik di Asia.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata hasrat UUM untuk menjadikan OYAGSB sebagai Top Business School menjelang 2025 semakin menjadi kenyataan dengan apabila tersenarai dalam QSWUR.

"Sesungguhnya saya bangga dan gembira di atas penyenaraian OYAGSB di dalam kedudukan antarabangsa yang mana secara tidak langsung telah mengiktiraf sekolah siswazah itu di persada dunia.

"OYAGSB mempunyai nama dan kualiti yang tersendiri, justeru saya yakin ia mampu membawa nama UUM ke satu tahap yang lebih tinggi lagi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Bashawir, berkata pencapaian ini adalah satu hasil yang sangat hebat selepas usaha keras seluruh warga UUM, khususnya OYAGSB sendiri untuk meletakkan diri mereka di tahap membanggakan.

Katanya, beliau berharap momentum itu dapat diteruskan dan dikekalkan supaya UUM terus melangkah ke hadapan dan dapat merealisasikan misi untuk memastikan OYAGSB berstatus Triple Crown, selain Top Business School.

"Saya juga mahu melihat OYAGSB bersama-sama UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) dan Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan

(PACE) bergerak seiring supaya cita-cita untuk menjadikan UUMKL sebagai Crown Jewel UUM menjadi kenyataan.

"Impian ini sudah pasti akan terlaksana setelah OYAGSB berjaya memperoleh AACSB dan AMBA, seterusnya EQUIS menjelang 2025," katanya.

Penilaian QSWUR: Global MBA 2021 mengguna pakai lima (5) indikator yang dikategorikan dalam lima kategori utama iaitu Employability, Return on Investment, Entrepreneurship & Alumni Outcomes, Thought Leadership dan Class & Faculty Diversity.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 12:07 PM