KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Serian: Tiga beranak maut, manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 62 Jalan Kuching-Sri Aman dekat Serian jam 7.30 malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Alexson Naga berkata, mangsa yang maut adalah pemandu Proton Iswara Johnes Gara, 40; Sirinah Mut, 50, dan Olivia Johnes, 7, masing-masing penumpang kereta berkenaan.

Menurutnya, seorang lagi mangsa cedera adalah pemandu pacuan empat roda yang kini masih menerima rawatan di Hospital Serian.

"Kemalangan dipercayai berpunca apabila pacuan empat roda cuba memotong sebelum merempuh kereta yang dinaiki mangsa dan sebuah kereta lain dari arah bertentangan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Serian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memotong bahagian kereta yang remuk bagi mengeluarkan penumpang Proton Iswara yang tersepit dan diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 10:42 AM