Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis sudah memanggil 10 orang yang didakwa berada di tempat kejadian ketika pesawat jatuh di perairan negeri berhampiran Tanjung Bunga, semalam.

Bagaimanapun, hanya tiga saksi yang mendakwa melihat kejadian pada kira-kira 2 petang itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, saksi yang juga penduduk setempat mendakwa melihat objek seperti kotak mancis berwarna hitam, menjunam ke laut dan objek berkenaan turut mengeluarkan belon di bahagian belakang.

Tiga saksi itu mendakwa masing-masing berada pada jarak antara 20 meter antara satu sama lain.

Namun katanya, mereka tidak dapat mengesahkan bahawa ia adalah pesawat tetapi melihat objek itu sebagai 'menyerupai pesawat' yang dianggarkan menjunam pada jarak sehingga 1.5 kilometer dari pantai.

"Siasatan terhadap beberapa orang awam dan nelayan lain yang berada di lokasi pula mendakwa tidak melihat kejadian itu.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh polis dan beberapa agensi juga dihentikan sehingga ada petunjuk dan maklumat baharu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Jalan Patani, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, pihaknya masih cuba mengesan lebih ramai saksi yang mengetahui kejadian itu sebelum mengesahkan ia palsu jika tiada bukti kukuh.

Katanya, pihaknya juga belum menerima laporan daripada Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atau laporan kehilangan daripada keluarga mangsa.

"Juga tular mengenai orang awam yang melihat sebuah helikopter berwarna kuning berlegar di perairan, namun ia sudah disahkan CAAM bahawa helikopter yang berlepas dari Kedah itu memang melakukan penerbangan dan sudah mendarat di Subang.

"Sehubungan itu, orang awam juga dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian selain tampil ke balai polis sekiranya mempunyai maklumat," katanya lagi.

Semalam, polis bersama beberapa agensi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan sejurus menerima laporan berhubung kejadian.

Namun pihak berkenaan masih tidak menemui sebarang petunjuk atau bangkai pesawat didakwa terhempas itu sehingga jam 6.30 petang sebelum operasi dihentikan pada 7 malam berikutan cuaca gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 2:44 PM