Polis sedang mengesan seorang wanita yang bertindak menumbuk dan membaling pisau kepada penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas ditegur tidak memakai pelitup muka. FOTO ihsan PEMBACA
Polis sedang mengesan seorang wanita yang bertindak menumbuk dan membaling pisau kepada penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas ditegur tidak memakai pelitup muka. FOTO ihsan PEMBACA
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Wanita bertindak menumbuk perut anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas ditegur tidak memakai pelitup muka di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini, semalam.

Difahamkan, suspek berusia 50-an itu turut membaling pisau kepada lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan daripada MBPP berhubung kejadian pada 1.38 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita itu ditegur anggota penguat kuasa MBPP kerana menggunakan laluan tikus untuk masuk ke pasar berkenaan tanpa memakai pelitup muka.

"Wanita itu kemudian bertindak menumbuk perut anggota lelaki berkenaan sebelum masuk ke dalam pasar dan membaling pisau ke arahnya.

"Dia (suspek) beredar dari lokasi berkenaan tidak lama kemudian dan kejadian itu tidak membabitkan kecederaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Soffian berkata, saksi awam mendakwa wanita terbabit kerap melakukan kekecohan setiap kali datang ke pasar berkenaan.

Katanya, usaha mengesan wanita itu giat dijalankan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihati mematuhi arahan yang ditetapkan serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa ketika mereka melaksanakan tugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 2:19 PM