Laporan Harian Metro sebelum ini
Laporan Harian Metro sebelum ini
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur kecuaian reka bentuk dan pemantauan tapak, susulan tragedi dinding parapet jatuh menghempap kereta.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan tegas akan diambil kepada individu yang didapati cuai semasa pelaksanaan pembinaan.

Menurutnya, pihaknya akan merujuk perunding Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) mengenai perkara itu.

"Tindakan serta-merta diambil dengan pihak pemaju utama MRCB Builders memberi arahan henti kerja kepada sub kontraktor dan menutup lokasi kejadian untuk siasatan.

"Pasukan Tindakan Kecemasan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berada di tapak kejadian mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta terbabit.

"Pihak pemaju juga bertindak memeriksa semua tembok parapet bagi tujuan keselamatan selain menyemak semula dokumen Prosedur Kerja Selamat dan Kaedah Kerja Pemasangan Tembok Parapet," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sudah diarah melaksanakan audit menyeluruh pada kadar segera ke atas kerja membabitkan keselamatan awam.

Tambah beliau, LLM kini melaksanakan semakan keselamatan dan tindakan akan diambil untuk menyemak pelaksanaan tanggungjawab di semua peringkat.

"Kementerian memberi amaran bahawa semua pihak terbabit kerja pembinaan perlu mematuhi proses, prosedur, spesifikasi dan kontrak kerja yang ditetapkan di tapak pembinaan tanpa kompromi.

"Isu keselamatan di tempat kerja mesti diambil perhatian dan dipatuhi oleh setiap pekerja dalam kerja pembinaan. Mereka bukan sekadar perlu tahu dan faham tetapi implikasi sepenuhnya," katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya juga mengarahkan LLM dan Prolintas meneliti semula kaedah reka bentuk sesuai membabitkan struktur bagi meminimumkan risiko kepada orang awam dan pekerja.

Beliau berkata, kajian menyeluruh perlu dibuat oleh pakar berpengalaman bagi mencapai reka bentuk terbaik untuk meminimakan risiko semasa pembinaan yang membabitkan laluan trafik sedia ada.

"Pemaju dan kontraktor diarahkan mengambil tindakan bagi meringankan beban dan tekanan dihadapi mangsa dan keluarganya akibat kejadian itu," katanya.

Berita berkaitan

Syukur kakak selamat

Ketat aspek keselamatan laluan dalam binaan

Wanita nyaris maut, konkrit lebuh raya hempap kereta

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 9:38 PM