TIGA suspek ditahan bersama heroin di Kampung Bukit Malut, Langkawi, Sabtu lalu. FOTO ihsan polis.
TIGA suspek ditahan bersama heroin di Kampung Bukit Malut, Langkawi, Sabtu lalu. FOTO ihsan polis.
Hamzah Osman


Langkawi: Polis menahan tiga lelaki, sekali gus melumpuhkan rangkaian jual beli dadah dalam tiga serbuan berasingan di persekitaran Kampung Bukit Malut, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketiga-tiga lelaki termasuk remaja berusia 19 tahun itu ditahan dalam operasi sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi selama 25 minit.

"Menerusi serbuan pertama pada 6.25 petang Sabtu lalu, kami menahan seorang lelaki di jalan utama ke kampung itu dan pemeriksaan menemui 10 keratan straw berisi heroin seberat 2.30 gram (g) di dalam poket seluar.

"Siasatan ke atas suspek pertama membawa kepada tangkapan remaja lelaki berusia 19 tahun kira-kira 15 minit kemudian di kawasan berhampiran dan menemui 17 keratan straw dadah sama seberat 4.0g," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, hasil maklumat diberikan suspek kedua, polis menahan seorang lagi lelaki dalam serbuan ke sebuah rumah di jalan ke kolam udang di kampung berkenaan, 10 minit kemudian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui satu peket plastik lutsinar berisi heroin seberat 4.80g dalam genggaman tangan kanan suspek.

"Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis morfin, selain dua daripadanya turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 10:55 PM