Al-Rifae (kanan) dan Umar Farook bersama sijil rekod derma darah sebanyak 11 kali sebelum ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Al-Rifae (kanan) dan Umar Farook bersama sijil rekod derma darah sebanyak 11 kali sebelum ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Dua sahabat ada cara tersendiri bagi menunjukkan semangat serta tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara iaitu dengan menderma darah.

Ditemui di Program Derma Darah Sempena Hari Malaysia 2020, Plaza Island, di sini,

Al-Rifae Mohamed Ishak, 49, dan Umar Farook Othuman Mydin, 39, masing-masing sudah menderma darah sebanyak 11 kali.

Al-Rifae dari Kampung Malabar, di sini berkata, dia mula menderma darah sejak tahun 1996 selepas terbabit dengan kempen berkenaan.

Menurutnya, pada mulanya, dia menderma hanya sekadar bagi memeriahkan kempen sebelum ia bertukar kepada rasa tanggungjawab.

"Jika tidak menderma darah menerusi kempen, saya akan ke Tabung Darah Hospital Pulau Pinang (HPP) bersama isteri (Raizah Parwib, 42) .

"Tidak sangka amalan itu juga turut diikuti isteri saya yang sudah lebih lima kali menderma darah," katanya.

Umar Farook pula berkata, dia sebenarnya sudah menderma darah lebih 11 kali sejak tahun 2003 namun sijil yang disimpan hilang.

Katanya, ini adalah kali pertama dia menderma darah sempena Hari Malaysia dan menganggap ia adalah satu cara bagi menunjukkan penghargaannya kepada negara.

"Kehidupan kita di Malaysia sekarang sudah aman damai, jadi tanggungjawab kita pula membantu golongan yang memerlukan.

"Ubahlah tanggapan, menderma darah tidak menyebabkan berat badan meningkat sebaliknya menjadikan badan kita lebih sihat," katanya.

Sementara itu, Presiden Young Muslims Sports Club (YMSC) Munower Sadiq berkata, pihaknya sudah lima kali menganjurkan program derma darah sekitar Pulau Pinang dan mendapat sokongan yang positif daripada orang ramai.

"Kami menyasarkan hanya 50 penderma darah pada hari ini, tetapi sebaliknya dalam tempoh dua jam, sudah ada 40 orang yang menderma darah.

"Selaras dengan kempen derma darah sempena Hari Malaysia, mereka layak digelar sebagai 'Wira Negara' yang menunjukkan semangat sayangkan negara dengan cara sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 7:06 PM