Danial Saad
am@hmetro.com.my


SURI rumah tidak menyangka akan menerima hadiah 'istimewa' yang dihasilkan sendiri kakitangan Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2020 hari ini.

Zarinah Abdullah, 51, menerima hasil kraftangan berupa anak patung beruang yang dihasilkan daripada tuala ketika menderma darah untuk Tabung Darah HPP.

"Setiap kali ingin menderma darah saya memang bersemangat, menunggang motosikal sendirian keluar rumah seawal 8 pagi.

"Tidak sangka dan terharu sangat apabila menerima hadiah istimewa kraftangan buatan sendiri kakitangan jabatan yang hampir kesemuanya saya kenali.

Zarinah memiliki darah jenis O+ itu sudah menderma darah lebih 10 kali sejak 2003 dan dia menyeru orang ramai terutama golongan belia yang sihat tubuh badan berbuat demikian.

Dr Anizah Arshad (tengah) bersama kakitangan Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Pulau Pinang (HPP) menghasilkan patung beruang daripada tuala untuk dihadiahkan kepada penderma darah sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2020 peringkat HPP. FOTO DANIAL SAAD
Dr Anizah Arshad (tengah) bersama kakitangan Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Pulau Pinang (HPP) menghasilkan patung beruang daripada tuala untuk dihadiahkan kepada penderma darah sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2020 peringkat HPP. FOTO DANIAL SAAD

Seorang lagi penderma darah, Siti Nursyazwani Saipan, 29, dari Tasek Gelugor berkata, dia menderma darah sejak berusia 17 tahun dan kini menjadi penderma darah setiap kali ada masa terluang atau program menderma darah.

"Saya memandu kereta sendirian sejauh lebih 20 km (kilometer), untuk menderma darah sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2020 di Hospital Pulau Pinang.

"Lebih menarik kali ini mendapat hadiah istimewa." katanya mendapatkan maklumat kempen derma darah melalui facebook 'Derma Darah Penang'.

Pakar Perubatan Transfusi HPP, Dr Anizah Arshad pula berkata, inisiatif kakitangan menghasilkan kraftangan itu sebagai hadiah penghargaan kepada penderma darah.

"Kami menyediakan sebanyak 100 patung beruang dihasilkan sendiri daripada tuala dihadiahkan kepada penderma terawal.

"Untuk sambutan kali ini, kita turut adakan pelbagai aktiviti tetapi ia lakukan secara sederhana dan mematuhi prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 5:08 PM