KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


DUA remaja maut selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan kereta dan lori kontena di Jalan Cameron Highlands - Ipoh, berhampiran Kampung Pos Raya dekat Ipoh, semalam.

Dalam kejadian 3.20 petang itu, penunggang motosikal, Muhamad Husni Muhamad Anuar, 19, dan pemboncengnya, Nur Aina Zafirah Abdul Malek, 17, maut di lokasi kejadian.

Kemalangan membabitkan motosikal dinaiki remaja berkenaan dan kereta dipandu lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya serta lori kontena dipandu lelaki berusia 59 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang maut menaiki motosikal dari arah Cameron Highlands menghala ke Ipoh, manakala kereta dan lori berkenaan dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta yang ketika itu berada di belakang lori cuba memotong kenderaan berat terbabit sebelum merempuh motosikal yang berada di laluan bertentangan.

“Berikutan itu, kereta dipandu mangsa terbabas ke dalam semak di sebelah kiri jalan, manakala penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh atas jalan.

“Pemandu lori yang tidak sempat mengelak merempuh kedua-dua mangsa sebelum mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nordin berkata, pemandu kereta cedera dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pemandu lori tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat.

“Bedah siasat dijalankan pagi ini bagi mengetahui punca kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 10:35 AM