Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Proses air ketum sambil barbeku dan menghisap ganja. Itu dilakukan seorang lelaki bersama lapan rakannya yang terbabit dalam kegiatan penjualan air ketum sejak Mac lalu.

Lelaki terbabit turut memasak daun ketum sebelum memasukkan air ketum ke dalam botol yang hanya dilakukan di tepi kediaman keluarga mentuanya di Kampung Padang Balang di sini.

Kedudukan rumah itu yang sedikit tersorok dari jalan utama dipercayai menyebabkan mereka berani melakukan kegiatan itu.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu yang berusia antara 35 hingga 56 tahun itu terbongkar selepas diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 10.30 malam tadi dalam Op Sarang.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, polis merampas 704 botol air berisi cecair disyaki ketum dengan anggaran 1,056 liter bernilai kira-kira RM14,080 dalam serbuan itu.

Menurutnya, ketika serbuan mereka sedang memasak daun ketum itu dan belum sempat diproses untuk dimasukkan ke dalam botol.

"Pemeriksaan lanjut menemui sembilan tong mengandungi 704 botol disyaki air ketum.

"Turut ditemui satu paket plastik dadah disyaki ganja seberat 5.7 gram di atas meja di sebuah bangsal tidak jauh dari tempat memproses air ketum yang dijadikan tempat lepak dan barbeku," katanya kepada media selepas serbuan itu.

Rajab berkata, polis turut merampas tiga tong gas, dua set peralatan memasak, tiga set periuk besar dan tiga bungkusan berisi daun ketum seberat 30 kilogram.

"Sebotol air ketum itu dijual dengan harga RM20 untuk pasaran Kampung Padang Balang dan Gombak.

"Siasatan juga mendapati mereka mula terbabit dalam pengedaran ketum bermula pertengahan Mac semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ketika serbuan kawasan bangsal itu turut kelihatan puluhan ayam sabung dan turut terdapat gelanggang dipercayai kawasan itu turut menjadi tempat menyabung ayam.

Mengulas mengenai Op Sarang, beliau berkata, seramai 45 individu terdiri penagih dan tokan dadah ditahan dalam serbuan yang dijalankan selama dua hari bermula kelmarin.

Sembilan lelaki yang ditahan dalam serbuan di Kampung Padang Balang, Kuala Lumpur kerana disyaki memproses ketum malam tadi. Foto Mustaffa Kamal
Sembilan lelaki yang ditahan dalam serbuan di Kampung Padang Balang, Kuala Lumpur kerana disyaki memproses ketum malam tadi. Foto Mustaffa Kamal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 10:10 AM