Amirudin Shari berucap pada Majlis Pengisytiharan sempena Menjunjung Titah D.Y.M.M Sultan Selangor bagi Pengisytiharan MPKL di Dewan Seri Jurga, Banting. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Amirudin Shari berucap pada Majlis Pengisytiharan sempena Menjunjung Titah D.Y.M.M Sultan Selangor bagi Pengisytiharan MPKL di Dewan Seri Jurga, Banting. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Semua pemilik tanah dan kilang yang beroperasi secara haram di Selangor diberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk melakukan pemutihan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jika pemilik tanah masih ingkar, tindakan meroboh premis akan dilakukan.

"Projek (pemutihan) kilang-kilang haram sudah bermula pada 2008 bagaimanapun ia kurang mendapat sambutan kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

"Justeru, kita bagi tawaran (melakukan pemutihan) kepada mereka sehingga akhir tahun ini tetapi jika keadaan mendesak, saya rasa kita boleh laksanakan dengan lebih cepat menjelang bajet akan datang.

"Secara keseluruhan, proses meroboh akan kita laksanakan pada awal tahun hadapan," katanya selepas Majlis Pengisytiharan Sempena Menjunjung Titah Sultan Selangor bagi Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Dewan Sri Jugra di sini, tadi.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau akan mempengerusikan jawatankuasa kecemasan sebagai usaha kerajaan negeri mengurangkan impak pencemaran terhadap sumber air di Selangor.

"Dalam bab ini saya sendiri akan ketuai jawatankuasa itu dalam masa terdekat. Kali ini kita akan gabungkan teknologi pemantauan sungai seiring dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai agensi pemantauan sumber air.

"Kita juga akan melaksanakan usaha pembersihan kawasan sungai, pengosongan rizab sungai yang dibangunkan oleh infrastruktur dan bangunan yang tidak mendapat kebenaran," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjunjung kasih titah Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam yang menitahkan beberapa tindakan perlu diambil berhubung isu berkenaan berikutan baginda bimbang rakyat akan memberontak seterusnya boleh mengakibatkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian sosial sekiranya masalah air berterusan.

"Kita memang lakukan... cuma kali ini atas titah baginda, semua pihak dan jabatan malah rakyat juga harus terbabit dalam proses pemeliharaan dan pemuliharaan sumber bekalan air kita," katanya.

Terdahulu, Kuala Langat yang sebelum ini berstatus majlis daerah secara rasminya dinaiktaraf sebagai majlis perbandaran atas perkenan Sultan Selangor dan akan menggunakan imej logo perbandaran yang baharu.

Amirudin berkata, MPKL diharapkan dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan serta kualiti kerja setaraf dengan naik taraf yang diperolehi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 5:35 PM