GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sebanyak 5,589 kilang tanpa kebenaran dikesan beroperasi di sembilan daerah di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 869 kilang berada di lokasi berdekatan sungai yang menjadi sumber utama air negeri.

"Mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merekodkan 546 kilang; diikuti 155 di Majlis Perbandaran Kajang (MPKj); Majlis Perbandaran Selayang (MPS) (75); Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) (27); Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) (23); Majlis Perbandaran Klang (MPK) (20); Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) (14); Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) (7) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) (2).

"Sebahagian besar daripada kilang-kilang berkenaan terletak di sebelah hilir atau selepas muka sauk loji," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab soalan Adhif Syan Abdullah (BERSATU-Dengkil) mengenai tindakan proaktif kerajaan negeri dalam membanteras kilang haram.

Menjawab lanjut, Ng berkata, banyak pihak keliru berkenaan status kilang sebegitu yang dianggap kilang haram, sedangkan ia adalah kilang yang mempunyai lesen perniagaan sementara.

"Ingin saya jelaskan, kilang tanpa kebenaran bukan kilang menjalankan aktiviti haram sebaliknya kilang yang mempunyai lesen perniagaan sementara dan belum memenuhi syarat-syarat teknikal seperti status syarat tanah, zoning atau kebenaran merancang.

"Berbeza dengan kilang haram iaitu kilang yang tidak mempunyai lesen perniagaan sementara serta menjalankan perusahaan yang boleh menimbulkan kacau ganggu, pencemaran dan kemudaratan kepada manusia dan alam sekitar.

"Kerajaan negeri berpandangan bahawa kilang tanpa kebenaran ini wajar diberi peluang," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran memberi tempoh kepada kilang tanpa kebenaran untuk melakukan pemutihan sehingga 31 Disember ini.

Menurutnya, program itu adalah yang terakhir dan tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut peruntukan perundangan sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 3:18 PM