FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melaporkan kes demam denggi di Selangor menurun 21.3 peratus pada minggu epid (ME) 36 iaitu bagi tempoh 30 Ogos hingga 5 September.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, dalam minggu itu, sejumlah 518 kes demam denggi dilaporkan berbanding 658 kes pada minggu sebelumnya.

"Sebanyak 37,230 kes demam denggi dilaporkan sehingga ME36 berakhir pada 5 September iaitu penurunan 28.1 peratus (14,539 kes) berbanding minggu sama tahun lalu (51,769 kes).

"Lima daerah utama mencatatkan kes demam denggi tertinggi adalah Petaling 13,114 kes (35.2 peratus), Hulu Langat 7,532 kes (20.2 peratus), Klang 6,333 kes (17 peratus), Gombak 5,351 kes (14.4 peratus) dan Sepang 2,115 kes (5.7 peratus).

"Jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah 242 dengan perincian lokaliti hotspot 25, wabak tidak terkawal 21, wabak terkawal 188 dan lapan wabak baru manakala bilangan lokaliti hotspot berdasarkan daerah adalah Hulu Langat sebanyak 18, lima bagi Petaling 5, Klang dan Hulu Selangor masing-masing satu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Sha'ari berkata, jumlah kematian menunjukkan penurunan 22.2 peratus (10 kes) apabila 35 kes dilaporkan berbanding 45 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, pencegahan demam denggi adalah tanggungjawab semua dengan meneruskan langkah pencegahan denggi iaitu aktif dan kerjasama semua agensi, jabatan dan masyarakat setempat.

Menurutnya, JKNS menyarankan agar komuniti di kawasan kediaman dan tempat kerja terus melaksanakan gotong-royong secara berkala dengan mengamalkan pendekatan norma baharu.

"Patuhi arahan serta garis panduan dikemaskini Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.

"Perlu memastikan penjarakan fizikal satu meter dari individu lain dipatuhi sewaktu melakukan aktiviti gotong-royong selain kerap membasuh tangan dengan sabun dan air atau menggunakan pensanitasi tangan.

"Semua peserta gotong-royong perlu menggunakan pelitup muka ketika menjalankan aktiviti itu terutama di tempat ramai orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 4:36 PM