Nor Sa’adah (dua dari kanan) dan Johari  (dua dari kiri) pada Majlis APC Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di Kompleks Sukan UMP kampus Gambang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Nor Sa’adah (dua dari kanan) dan Johari (dua dari kiri) pada Majlis APC Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di Kompleks Sukan UMP kampus Gambang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


BIARPUN menghidap penyakit radang sendi yang menjejaskan pergerakannya sejak 20 tahun lalu, ia tidak pernah mematahkan semangat seorang guru mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.

Ketekunan itu dibuktikan Nor Sa'adah Abdul Rahman, 54, yang sentiasa segar dengan semangat ingin melihat anak didiknya di Tahun Satu mampu membaca dengan baik secara berperingkat.

"Ikutkan sakit memang sakit semua sendi pada tangan dan kaki, namun kesakitan itu tidak pernah melemahkan semangat saya untuk terus mendidik.

"Setiap kali sakit, saya terpaksa makan ubat dan menggunakan tongkat serta kerusi roda untuk bergerak," katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Goh, Kuantan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan yang disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Zaimi Abu Bakar dan Pegawai PPD Kuantan, Miftah Surif.

Seramai 578 guru dan kakitangan sokongan menerima APC.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, ini adalah kali ketiga dia menerima APC sepanjang 30 berkhidmat sebagai guru dan pengiktirafan itu menambahkan lagi kesungguhan mendidik murid di peringkat sekolah rendah.

Katanya, lebih separuh daripada usia perkhidmatan sebagai guru bahasa Melayu dihabiskan habiskan mengajar murid Tahun Satu dan dia seronok mengajar mereka walaupun berhadapan dengan banyak cabaran.

"Kesabaran paling utama ketika mengajar murid terbabit. Rasa sakit seolah-olah hilang apabila berpeluang berada bersama mereka.

"Sambil mengajar saya boleh peluk mereka dan berbual bagi menarik perhatian mereka untuk minat belajar.

"Paling seronok apabila berpeluang melihat murid Tahun Satu mahir membaca dan menulis secara berperingkat. Itu semua hadiah paling bererti buat saya," katanya yang akan bersara pilihan pada tahun depan.

Bagi Johari Budin@Mahasan, 50, yang menghidap penyakit batu karang kronik, anugerah diterima itu menjadi penambah semangat kepadanya untuk terus mendidik pelajar hingga berjaya.

"Gagal meraih kejayaan dalam akademik bukan bermakna kita gagal sepenuhnya, sahsiah diri diterapkan dapat membentuk golongan muda menjadi insan berguna," katanya yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 4:30 PM