Murnaena Muhammad Nasir

WALAUPUN berada pada jarak sejauh 9,227 kilometer (km) dari tanah air, namun semangat cintakan negara tidak pernah luntur pada jiwa mereka.

Itu nilai patriotisme dizahirkan rakyat Malaysia yang bermastautin di Sweden melalui video nyanyian lagu Standing in the Eyes of The World sempena Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Pengurus operasi syarikat Ericsson di Stockholm, Sweden, Zainal Fitri Abu Khair, 51, yang sudah menetap di negara itu sejak 12 tahun lalu berkata, video sempena hari kebangsaan itu siri ketiga yang membabitkan rakyat Malaysia di negara Scandinavia berkenaan.

Menurutnya, tujuan video itu dihasilkan dan dimuat naik di YouTube miliknya bertujuan menyampaikan mesej kepada orang ramai semangat patriotik perlu sentiasa utuh tidak kira di mana saja berada.

"Video itu mengambil masa lebih dua bulan untuk disiapkan dengan kerjasama 26 individu termasuk sokongan Duta Besar Malaysia ke Sweden, Datin Paduka Nur Ashikin Mohd Taib dan Persatuan Malaysia-Sweden (SMA)," katanya.

Zainal Fitri mengakui penghasilan video itu memang mencabar memandangkan mereka tidak dapat berkumpul dalam satu masa berikutan pandemik Covid-19.

"Ada (rakyat Malaysia) yang tinggal jauh dan mempunyai jadual kerja padat, sekali gus menyukarkan kami untuk berkumpul pada hari pengambaran sehingga jadual rakaman menjadi panjang.

"Kami juga bukan dari kalangan penyanyi atau penyunting video dan audio profesional. Video itu dibuat secara sukarela oleh rakyat Malaysia di Sweden daripada pelbagai latar belakang antaranya doktor, akauntan, jurutera dan pelajar," katanya.

ZAINAL (pegang bendera kiri) bersama rakyat Malaysia di Sweden menghasilkan video nyanyian sempena Hari Kebangsaan.
ZAINAL (pegang bendera kiri) bersama rakyat Malaysia di Sweden menghasilkan video nyanyian sempena Hari Kebangsaan.

Bagaimanapun, katanya, kekangan berkenaan diselesaikan dengan baik atas semangat kerjasama dan sikap saling menghormati antara satu sama lain.

"Selain sambutan hari kebangsaan, setiap tahun ahli SMA juga menyambut perayaan utama pelbagai kaum di Malaysia bertujuan mengingatkan generasi muda di sini mengenai budaya Malaysia.

"Kebiasaannya, kami akan berkumpul dan menyambut perayaan itu dengan memakai pakaian tradisi masing-masing dan memasak makanan tradisional setiap perayaan," katanya.

Mengulas mengenai pilihan lagu, Zainal Fitri berkata, pihaknya memilih lagu penyanyi terkenal, Ella kerana bertepatan dengan pencapaian negara menangani wabak Covid-19.

"Maksud lagu itu 'Berdiri di Mata Dunia' dan ia bertepatan dengan pengiktirafan Malaysia sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam mengawal pandemik Covid-19.

"Malah, kombinasi bahasa Melayu dan Inggeris dapat mempromosikan negara kita kepada orang luar," katanya.

Video yang bertajuk Standing In The Eyes Of The World (Merdeka 2020 from Sweden) itu sudah mendapat 856 tontonan dan disunting oleh anak Zainal Fitri iaitu Muhammad Faiz, 23, serta Fatin Aqilah, 18.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 12:09 PM