GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Abdul Rahemang Taiming


LEBIH 100 individu termasuk pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan Pasukan Gerakan Am diarah menjalani ujian saringan berikutan seorang tahanan lokap warga asing disahkan positif Covid-19, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan perkara itu berkata, wanita berusia 29 itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika cuba menyeludup masuk secara haram dari Filipina ke Semporna, Ahad lalu.

Menurutnya, wanita itu antara sepuluh suspek pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui laluan tikus menggunakan sebuah bot pam di kawasan perairan berhampiran Pulau Bohey Dulang dan Pulau Pom Pom pada 15 Ogos lalu.

"Semua suspek terbabit kemudiannya ditempatkan di lokap tahanan sementara IPD Semporna sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Semporna untuk menjalani ujian saringan Covid-19 selepas sehari ditahan.

"Bagaimanapun, salah seorang daripada tahanan terbabit disahkan positif wabak Covid-19 selepas keputusan ujian saringan diperoleh pada jam 11 pagi semalam," katanya.

Jelas Hazani lagi, langkah pencegahan awal sudah diambil termasuk mengesan semua kontak rapat wanita berkenaan antaranya rakan PATI yang menaiki bot, tahanan lokap selain anggota keselamatan diarahkan menjalani ujian saringan serta dikuarantin selama 14 hari.

"Proses nyah kuman juga sudah dilakukan di seluruh kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna terutamanya lokap yang menempatkan wanita berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 6:11 PM