GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu di Bintulu, Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikenal pasti di sebuah kapal dan setakat ini empat kes positif dikesan.

Menurutnya, kesemua kes positif itu adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warga tempatan dan dua warga asing.

"Kluster itu dikesan susulan saringan Covid-19 yang dijalankan ke atas lima kakitangan kapal yang mengalami gejala.

"Daripada jumlah itu, empat orang didapati positif Covid-19 dan seorang masih menunggu keputusan pengesahan makmal.

"Kapal mereka bertugas itu mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mereka kini dirawat di Hospital Bintulu, Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, kluster berkenaan tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia kluster import yang terpencil di sebuah kapal.

Beliau berkata, aktiviti pengesanan kes aktif dan saringan kontak rapat sedang dijalankan.

"Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar turut dijalankan di kapal berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 6:06 PM