GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Semua aktiviti tadarus al-Quran dan qiamullail di masjid serta surau di lima daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lagi dibenarkan susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, aktiviti khas Ramadan seperti majlis berbuka puasa, moreh, sahur masih dibenarkan, namun hanya melalui kaedah mengedar makanan yang siap dibungkus sahaja.

Katanya, solat tarawih di daerah lain pula hanya dibenarkan di kawasan zon hijau, kuning dan jingga, dengan semua aktiviti terbabit tidak dibenarkan di zon merah.

"Solat sunat Aidilfitri dan takbir raya di zon merah pula hendaklah dilaksanakan di rumah, manakala di zon hijau, kuning dan jingga dibenarkan dilaksana di masjid dengan kadar waktu minimum.

"Hanya anak kariah yang bermastautin sahaja dibenarkan solat sunat Aidilfitri di tiga zon terbabit dengan takbir raya dari rumah ke rumah tidak dibenarkan di semua zon daerah PKP.

"Jamuan selepas solat di masjid dan surau serta aktiviti ziarah kubur di daerah PKP juga tidak dibenarkan di semua zon," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehingga kini, lima daerah dikenakan PKP membabitkan Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Mohd Yusri berkata, semua aktiviti keagamaan dan majlis ilmu juga tidak dibenarkan di masjid serta surau di kawasan zon merah.

Jelasnya, bagi zon hijau, kuning dan jingga pula hanya kuliah Maghrib dan bacaan Yassin pada setiap malam Jumaat dibenarkan dalam skala kecil dengan tempoh program tidak melebihi 45 minit dan khusus kepada kariah masjid sahaja.

"Bagi solat fardhu dan Jumaat di zon hijau dan kuning, jemaah dibenarkan dengan mengikut keluasan ruang utama solat masjid atau surau dengan penjarakan fizikal satu meter, manakala di zon jingga pula hanya dibenarkan berdasarkan separuh keluasan ruang utama masjid dan surau.

"Bagi zon merah bilangan jemaah untuk solat fardhu hanya dibenarkan kepada 20 orang termasuk pegawai atau jawatankuasa masjid dan surau, manakala solat Jumaat jemaah dihadkan kepada 50 orang tidak termasuk pegawai atau jawatankuasa masjid," katanya.

Selain itu, Mohd Yusri, berkata pengurusan jenazah bukan Covid-19 pula dibenarkan di kawasan zon hijau, kuning dan jingga terhad kepada pegawai atau jawatankuasa masjid, ahli keluarga dan anak kariah mengikut ruang solat utama masjid manakala di zon merah tidak melebihi 20 orang.

Katanya, aktiviti ziarah kubur sebelum solat sunat Aidilfitri di daerah PKPP dan PKPB perlu merujuk prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 1:13 PM