TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen. FOTO Syahirah Abdullah
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen. FOTO Syahirah Abdullah
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan cuba merasuah pegawai polis dengan memberi suapan RM200 pada Ogos lalu.

Tertuduh, Huong Kah King, 41, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM200 kepada pegawai polis, Inspektor Mohd Hanafi Nasir, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kebun kelapa sawit di Felda Neram 1, Cheneh, Kemaman, 11 pagi pada 22 Ogos lalu untuk melindungi dua warga Bangladesh, Sumon Baperi dan Amir serta seorang warga Myanmar, Kasim Alam Abdul yang ditahan ketika Operasi Pencegahan Jenayah Bersepadu jabatan berkenaan atas kesalahan tidak membawa dokumen pengenalan diri yang sah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Farah Yasmin Saleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 1:51 PM