DR Noor Hisham. FOTO arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


TERDAPAT tujuh kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar hari ini, iaitu empat di Kedah dan tiga di Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi kluster ini sebanyak 46 kes.

"Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 1,135 individu disaring dalam kluster ini.

"Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit ialah Kedah (918 disaring) dengan 39 kes dikesan positif Covid-19, 655 individu negatif dan 224 individu masih menunggu keputusan.

"Di Pulau Pinang (208 disaring) tujuh kes dikesan positif Covid-19, 175 individu negatif dan 26 individu masih menunggu keputusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Perak (sembilan disaring) dan lapan negatif sementara seorang lagi menunggu keputusan.

"Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kluster ini dan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Bagi Kluster Sala, dua kes baharu dilaporkan menjadikan enam positif setakat ini," katanya.

Beliau berkata, sehingga 12 tengah hari ini, seramai 273 orang disaring dalam kluster ini.

"Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit ialah Kedah (269 disaring), enam kes dikesan positif Covid-19, 214 individu negatif dan 49 individu masih menunggu keputusan.

"Di Pulau Pinang (empat disaring) dan tiada kes positif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 5:24 PM