LELAKI OKU ditahan polis. FOTO ABNOR HAMIZAM
LELAKI OKU ditahan polis. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


BIARPUN dalam keadaan lumpuh separuh badan, lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) masih menagih dadah dan sanggup masuk ke dalam pot untuk mencari bekalan dadah.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditangkap polis ketika memandu kereta Proton Wira yang diubah suai ketika dalam perjalanan mendapatkan bekalan dadah.

Dia juga dipercayai menggunakan pelbagai wang bantuan diterima bagi membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata OKU itu yang positif dadah jenis morfin, lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2005.

Menurutnya, OKU itu bagaimanapun tidak mempunyai rekod lampau dan dibebaskan selepas keterangan diambil.

“OKU itu antara 32 penagih berusia 20 hingga 60 tahun yang ditangkap polis dalam op EXhiles dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol selama dua hari di pot pokok mangga Felda Palong Tujuh dan pot kubur, Felda Palong 11.

“Empat tokan berusia 26 hingga 40 tahun yang mengedar dadah di pot dan kawasan sekitar Felda berhampiran turut ditangkap.

“Selain serbuan di lokasi penagihan dan pengedaran itu, polis turut membuat serbuan rumah ke rumah di tanah rancangan Felda gugusan Palong dan berjaya menangkap 29 penagih yang mempunyai waran tangkap berusia 17 hingga 65 tahun,”katanya di sini.

Mohd Khairiel berkata dalam op itu, sebanyak 75.24 gram (g) heroin, 2.57g syabu dan 2.05g ganja bernilai RM3,450 dirampas.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12 ( 3 ), Seksyen 6 dan Seksyen 15 ( 1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 12:32 PM