REAKSI Guan Eng ketika meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
REAKSI Guan Eng ketika meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid


BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya bermotifkan politik sekali gus menjejaskan reputasinya sebagai ahli politik.

Guan Eng berkata, beliau juga tidak pernah menerima sebarang suapan sama ada dalam bentuk wang tunai atau dimasukkan ke akaun banknya.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak pernah bertanya bentuk suapan yang dituduh terhadap saya.

"Tiada puluhan juta atau bilion ringgit. Pendakwaan ini bermotifkan politik dan berniat untuk merosakkan reputasi saya.

"Saya akan lawan tuduhan rasuah ini yang saya rasa bermotif politik, tidak berasas untuk mencemarkan nama baik saya sebagai seorang ahli Parlimen daripada pembangkang," katanya di luar lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan meneruskan perjuangan untuk memastikan Malaysia lebih bersih, adil dan memastikan isu seperti rasuah dapat dibanteras.

"Saya ulangi lagi kita lawan rasuah, kita tidak akan mendokong rasuah. Oleh itu kita akan serah kepada mahkamah untuk membuktikan bahawa saya memang tidak bersalah," katanya.

Terdahulu, Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Guan Eng, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berita berkaitan:

  • Guan Eng didakwa minta suapan 10 peratus
  • Pemimpin DAP hadir sokong Guan Eng
  • Kes rasuah: Guan Eng didakwa esok
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 4:21 PM