BETTY (kiri) ditemani Lee Khai tiba di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang.
BETTY (kiri) ditemani Lee Khai tiba di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang.
Audrey Dermawan


ISTERI bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Betty Chew memasuki pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Georgetown, 10.45 pagi, hari ini.

Beliau yang menaiki kenderaan pelbagai guna ditemani peguam, Lee Khai dan adik perempuan Guan Eng, Hui Ying.

Pihak media belum mendapat penjelasan daripada SPRM tujuan Gek Cheng dipanggil kepada pejabat SPRM Pulau Pinang.

Pagi tadi Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Guan Eng, 59, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Guan Eng juga dijadual dituduh di mahkamah Butterworth, Isnin ini bagi kes lain.

Beliau turut bertugas sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dari 2008 hingga 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 12:33 PM