Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 7,000 penduduk di empat mukim di Kedah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) masih bebas bergerak dan boleh keluar membeli barangan keperluan asas.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka masih bebas untuk keluar membeli barang dan makanan tidak seperti PKP di mana tidak langsung dibenarkan keluar rumah tetapi perlu menjalani ujian swab.

Menurutnya, kedai yang menjual barangan keperluan asas masih dibuka seperti biasa dan restoran juga dibuka cumanya hanya perlu bungkus dan tidak boleh makan di premis.

"Ia berbeza dengan PKP dahulu di mana tidak boleh keluar tetapi mereka ini masih bebas bergerak...jadi tidak timbul isu tiada bekalan makanan.

"Cuma jika penduduk tidak boleh mendapat bekalan makanan kerana kedai kehabisan stok...yang itu saya akan maklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya menambah mana-mana kekurangan di kawasan terbabit sama ada di Kubang Pasu atau Padang Terap," katanya ketika sidang media Covid-19 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keluhan penduduk yang memberitahu agak sukar mendapat bekalan makanan susulan Temco.

DERETAN kedai makanan yang ditutup berikutan penularan wabak Covid-19. FOTO Amran Hamid
DERETAN kedai makanan yang ditutup berikutan penularan wabak Covid-19. FOTO Amran Hamid

Ismail Sabri berkata, mereka juga masih boleh bekerja tetapi sebelum keluar perlu dipastikan negatif ketika melakukan ujian swab dan di sekatan jalan raya perlu disaring suhu dan memberi maklumat diri supaya jika apa-apa berlaku mudah mengesan mereka.

"Kebebasan masih ada sama seperti pernah dibuat PKPD secara pentadbiran di Kampung Baru, Pasar Cheras dan Pasar Bahau," katanya.

Mengulas mengenai aduan makanan tidak berkualiti di pusat kuarantin, beliau berkata, pihak itu sudah diambil maklum oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Terbaru saya dimaklumkan, NADMA sudah menukar menu yang didakwa tidak berkualiti itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 3:16 PM