Noorazura Abdul Rahman


KEDAH tidak akan mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di seluruh negeri itu, sebaliknya hanya dilaksana di kawasan yang terjejas akibat Covid-19 sahaja.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan itu akan dibuat pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Covid-19 membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan beberapa agensi lain malam ini.

Katanya, pelaksanaan Temco di seluruh Kedah akan menjejaskan ekonomi negeri dan negara sehingga menyebabkan kerajaan negeri kerugian berbillion ringgit.

"Saya akan minta Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Fikri Ujang memberi penerangan situasi Covid-19 di Kedah malam ini, kita akan syorkan beberapa cadangan termasuk cadangan Temco dilaksana di daerah terbabit mengikut jumlah kes.

"Setakat ini kawasan di Kubang Pasu dan Padang Terap yang sudah melaksanakan Temco dan kita tak ada kuasa melaksanakannya kerana keputusan mengenainya hanya boleh dibuat oleh MKN dan diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri," katanya.

MUHAMMAD Sanusi (dua dari kiri) bersama Datuk Rosman Mohamed (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penerima-penerima zakat  pada majlis Bantuan Zakat Bank Rakyat Kepada Asnaf di Hotel Sik Inn. FOTO Amran Hamid
MUHAMMAD Sanusi (dua dari kiri) bersama Datuk Rosman Mohamed (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penerima-penerima zakat pada majlis Bantuan Zakat Bank Rakyat Kepada Asnaf di Hotel Sik Inn. FOTO Amran Hamid

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Zakat Bank Rakyat berjumlah RM97,000 kepada 11 asnaf di Sik, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut menasihatkan penduduk di kawasan kluster menangguhkan majlis kenduri, keramaian dan sebarang perhimpunan bagi mengekang penularan wabak.

Katanya, rakyat turut diingatkan agar tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik kepada masyarakat.

"Saya faham rakyat dalam keadaan bimbang, saya minta semua orang patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan bantuan makanan mencukupi sekiranya Temco dilaksanakan di kawasan lain yang mempunyai kluster Covid-19.

"Arahan mengenai penutupan sekolah pula, hanya akan diputuskan MKN, harap rakyat dapat bersabar dan menunggu pengumuman daripda MKN," katanya.

Sehingga kini, Kedah mencatatkan empat kluster CovidD-19 iaitu Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Muda dan Kluster Sala membabitkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Baling, Kuala Muda dan Yan.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 1:31 PM