Saipul Adli Mohamad dan Suraya Roslan


PERDANA Menteri menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan berkaitan peraturan kuarantin Covid-19 sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda daripada kadar sekarang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa sama, tiada sesiapa dikecualikan daripada peraturan itu dan mana-mana individu yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal.

Beliau berkata, negara kita masih berhadapan cabaran getir dalam menangani penularan wabak Covid-19, mengambil kira virus ini masih menular secara aktif di seluruh dunia.

"Melihat kepada kes berlaku di luar negara, virus ini bukan sahaja masih aktif, malah menular secara cepat pada skala yang besar.

"Saya sedar kita tidak boleh mengambil mudah risiko penularan virus perebak utama di negara kita. Oleh itu peraturan kuarantin yang ketat di tempat tertentu akan terus dikuatkuasakan.

"Tiada sesiapa dikecualikan daripada peraturan ini dan mana-mana individu yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal," katanya menerusi perutusan khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin berkata, cadangan menaikkan kadar kompaun terhadap mereka yang melanggar peraturan itu perlu diperhalusi dan Akta 342 perlu dipinda terlebih dahulu.

Beliau yakin, walaupun PKPP dilanjutkan, kehidupan rakyat tidak akan terjejas kerana aktiviti harian boleh dilaksanakan seperti biasa dengan pembudayaan norma baharu dan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan.

"Yang penting, saudara-saudari mesti terus membiasakan diri dengan pemakaian pelitup muka, membasuh tangan, sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengelakkan berada di tempat sesak.

"Saya percaya semua ini telah saudara-saudari lakukan selama ini sehingga kita berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat kita," katanya.

PENDUDUK setempat yang hadir untuk melakukan ujian saringan di Surau Salahuddin Al-Ayubbi, Amanjaya. FOTO Amran Hamid
PENDUDUK setempat yang hadir untuk melakukan ujian saringan di Surau Salahuddin Al-Ayubbi, Amanjaya. FOTO Amran Hamid

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 8:29 PM