Salman Saaban (dua dari kiri) mengadakan lawatan di kediaman waris mangsa di Perumahan Tersusun Kampung Mawai, Kota Tinggi. FOTO IHSAN PERHILITAN JOHOR
Salman Saaban (dua dari kiri) mengadakan lawatan di kediaman waris mangsa di Perumahan Tersusun Kampung Mawai, Kota Tinggi. FOTO IHSAN PERHILITAN JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menjalankan pemantauan pergerakan kumpulan gajah liar susulan insiden seorang pengawal keselamatan maut diserang haiwan terbabit di sebuah lombong pasir di Batu 6, Simpang Perani, Mawai, semalam.

Pengarahnya Salman Saaban berkata, pemantauan dilakukan berdasarkan aduan semasa yang diterima di sekitar lokasi kejadian selain mengesan lokasi pergerakan terkini kumpulan gajah itu.

Katanya, maklumat pemantauan akan dimaklumkan kepada Unit Tangkapan Gajah (UTG) Johor bagi proses menangkap haiwan itu dijalankan.

"Secara purata antara 15 hingga 20 aduan gangguan gajah diterima setiap bulan sepanjang tahun ini sehingga Jun lalu dengan kadar kerugian dianggarkan kira-kira RM600,000 direkodkan terutama membabitkan tanaman kelapa sawit dan infrastruktur.

"Kawasan penempatan yang selalu diserang gajah adalah Kampung Mawai, Kampung Lukut, Kampung Temenin, Kampung Sendayan, Kampung Sedili Kechil, Kampung Sedili Besar, Bandar Sri Perani, perkampungan Felda Gugusan Air Tawar 3 dan 2, Felda Gugusan Lok Heng serta Felda Gugusan Waha.

"Bagaimanapun sehingga Jun lalu bagi daerah Kota Tinggi, tiada kematian akibat serangan gajah dilaporkan.

"Namun satu kes kecederaan ada dilaporkan berlaku di Ladang Sayong, Kluang pada 2 April dan satu kes kematian diserang gajah berlaku di Kilometer 51, Jalan Kahang-Jemaluang, Mersing, 17 April lalu.

"Terdapat juga satu kes gajah mengejar dua pengawal keselamatan dan merosakkan motosikal dilaporkan berlaku di ladang LGM, Kota Tinggi, 24 Jun lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, pengawal keselamatan Misran Tukijo, 56, maut selepas diserang sekumpulan gajah di kawasan lombong terbabit.

Salman berkata, pembangunan dan pembukaan kawasan hutan untuk tujuan pertanian antara punca gajah keluar dari habitat asal bagi mencari makanan.

"Perhilitan akan terus menjalankan pemantauan berdasarkan pergerakan gajah semasa di lokasi aduan selain aktiviti tangkap pindah gajah ke habitat baru sudah dirancang.

"Selain itu, projek Santuari Gajah Johor (JES) yang akan beroperasi dalam masa terdekat dijangka memberi impak dalam mengurangkan konflik manusia-gajah terutama di Kota Tinggi.

"Orang awam dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri terhadap gajah kerana dikhuatiri tindakan yang diambil berbentuk provokasi ke atas haiwan itu lantas mengundang kejadian yang tidak diingini.

"Segala bentuk tindakan yang diambil oleh orang awam perlu mendapat khidmat nasihat daripada pihak jabatan terlebih dahulu supaya ia selaras dengan peruntukan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 6:50 PM