Nurul Hidayah Bahaudin


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 75 basikal elektrik atau dikenali sebagai e-bike tanpa permit yang diletakkan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 17 Julai lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alfiah berkata, kontena itu diikrarkan sebagai kenderaan elektrik pada manifes import.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan menemui 75 basikal elektrik itu yang dianggarkan bernilai RM112,500 dengan jumlah cukai berjumlah RM45,000 dalam kontena itu.

"Dagangan e-bike diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan tertakluk kepada permit daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan pengimport dan ejen kastam yang terbabit dalam cubaan seludup ini mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Zon Tengah di Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

JOHARI (tengah) bersama pegawai kanan JKDM menunjukkan basikal eletrik yang dirampas. FOTO Khairul Azhar Ahmad
JOHARI (tengah) bersama pegawai kanan JKDM menunjukkan basikal eletrik yang dirampas. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Dalam kes berasingan, Johari berkata, pihaknya merampas sebanyak 16,200 liter minuman keras seludup bernilai RM76,500 membabitkan jumlah duti RM437,580 yang diletakkan di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Jumaat lalu.

Katanya, sindiket itu cuba mengaburi pihak berkuasa dengan membuat pengikraran palsu yang didakwa membawa muatan pelbagai barangan campuran seperti topeng pakai buang, beg plastik dan beg bukan fabrik tenun atau non woven bag.

"Dagangan yang diikrarkan diletakkan di bahagian hadapan kontena supaya minuman keras yang diseludup terbabit tidak kelihatan sekiranya kontena berkenaan dibuka.

"Ejen penghantaran yang terbabit sudah dikenal pasti dan tindakan diambil bagi mengesan individu berkenaan untuk membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976," katanya.

Sementara itu, pihaknya turut merampas 157,760 batang rokok dan 109.56 liter minuman keras seludup dianggarkan bernilai RM52,096 menerusi pemeriksaan Op Benteng 2020 terhadap beberapa premis serta kedai runcit sekitar Selangor pada 15 Julai lalu.

"Sebanyak sembilan kes diperoleh sepanjang operasi itu membabitkan duti berjumlah RM113,553. Selain itu, kami turut menyita kereta Honda City dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dianggarkan bernilai RM38,000.

"Kami juga berjaya membuat tangkapan seramai lapan warga asing termasuk tiga wanita berusia 21 hingga 45 tahun yang kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 3:13 PM