YEOH (dua dari kiri) dan Peter Chan (kanan) melekatkan Sijil Akreditasi Kesiapsiagaan Covid-19 di pusat beli-belah Plaza Gurney, Georgetown, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
YEOH (dua dari kiri) dan Peter Chan (kanan) melekatkan Sijil Akreditasi Kesiapsiagaan Covid-19 di pusat beli-belah Plaza Gurney, Georgetown, hari ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


USAHA yang dilakukan bagi memastikan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) melayakkan 16 penggiat dalam industri pelancongan di Pulau Pinang menerima Sijil Akreditasi Kesiapsiagaan Covid-19.

Sijil berkenaan diberi berikutan inisiatif berterusan mereka dalam mematuhi sebanyak 19 SOP yang ditetapkan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang (PETACH) Yeoh Soon Hin berkata, Pulau Pinang adalah negeri pertama yang memulakan sistem akreditasi berkenaan terhadap industri pelancongan.

"Ketika kebenaran pembukaan semula sektor pelancongan, pematuhan SOP dalam kalangan pekerja dan orang ramai menjadi fokus utama selain menarik semula kunjungan pelancong.

SEBAHAGIAN penggiat industri pelancongan yang menerima Sijil Akreditasi Kesiapsiagaan Covid-19. FOTO Zuhainy Zulkiffli
SEBAHAGIAN penggiat industri pelancongan yang menerima Sijil Akreditasi Kesiapsiagaan Covid-19. FOTO Zuhainy Zulkiffli

"Penilaian dilakukan selama dua minggu dalam tempoh fasa pemulihan dan pematuhan SOP oleh semua penggiat industri itu yang berada pada tahap memuaskan," katanya di Georgetown, hari ini.

Program akreditasi itu mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Penang Global Tourism (PGT).

Yeoh berkata, walaupun penyertaan sistem akreditasi itu bukan satu kemestian, tetapi penyertaan penggiat pelbagai bidang amat digalakkan.

Katanya, pihaknya menerima banyak penyertaan dan diharap ia akan mendorong peserta supaya terus menjaga keselamatan serta kebersihan.

"Negeri (Pulau Pinang) ini mengekalkan status zon hijau melebihi 70 hari dengan lebih 98 peratus tahap kepatuhan.

"Dengan sijil akreditasi ini, ia dapat mengembalikan keyakinan pelancong mengenai tahap kebersihan dan keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 6:27 PM