GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norsyazwani Nasri

POLIS mengeluarkan sebanyak 33 kompaun kepada pengunjung dan lima pekerja sebuah bistro di Jalan Song, Kuching kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial.

Dalam pemeriksaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching jam 11.30 malam itu, mereka yang dikompaun terdiri daripada 20 lelaki dan 13 wanita.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, pekerja dan pelanggan premis terbabit gagal mematuhi arahan penjarakan sosial.

"Pengunjung duduk dalam keadaan terlalu rapat di antara satu dengan yang lain dan tidak mematuhi jarak satu meter yang ditetapkan.

"Semua pelanggan dan pekerja premis yang gagal mematuhi arahan penjarakan sosial diarahkan ke IPD Kuching dan kompaun dikeluarkan kepada mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kompaun itu perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari dengan nilai kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang.

"Polis tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun kepada mana-mana premis yang gagal mematuhi SOP penjarakan sosial," katanya.

Beliau berkata, pemantauan serta pemeriksaan premis seumpama itu akan dijalankan secara berterusan dalam membendung penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 11:22 AM