ANTARA 12 individu yang dikompaun kerana melepak tanpa penjarakan sosial di parkir sekitar Kuching. FOTO Melvin Joni
ANTARA 12 individu yang dikompaun kerana melepak tanpa penjarakan sosial di parkir sekitar Kuching. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


SERAMAI 12 individu dikompaun RM1,000 seorang kerana didapati berkumpul di tempat letak kenderaan sekitar Kuching sambil minum alkohol dan gagal mengamalkan penjarakan sosial.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, mereka terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita tempatan.

"Semua mereka ditahan di dua parkir berasingan di Saradise BDC dan City Square Pending," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada 17 warga tempatan iaitu 10 lelaki dan tujuh wanita iaitu pelanggan premis makanan di Jalan Tun Jugah di Kuching termasuk seorang lelaki yang merupakan penjaga premis kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial.

"Mereka dikompaun kerana duduk dalam keadaan yang terlalu rapat antara satu sama lain," katanya.

Awang Din berkata, semua mereka diarahkan ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, mereka dikompaun atas kesalahan mengikut Peraturan 3, Peraturan-peraturan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No. 7) 2020.

Tambahnya, kompaun yang dikeluarkan perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari dengan nilai kompaun sebanyak RM 1,000 setiap seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 6:22 PM