Azmin Ali pada sidang media sempena lawatan kerja ke kilang Texas Instruments Electronics Malaysia Sdn Bhd (TIEM), Batu Berendam, Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Azmin Ali pada sidang media sempena lawatan kerja ke kilang Texas Instruments Electronics Malaysia Sdn Bhd (TIEM), Batu Berendam, Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Oleh Amir Mamat


KERAJAAN mengadakan rundingan dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), susulan dakwaan dua anak syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd menggunakan khidmat buruh paksa, sehingga menyekat eksport ke negara berkenaan.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rundingan sedang dilaksanakan pihaknya, selepas melihat tindakan Jabatan Kastam Dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS itu sebagai tidak wajar.

Katanya, syarikat bertaraf antarabangsa berkenaan pernah menyalurkan bantuan besar ketika dunia berperang dengan pandemik Covid-19, baru-baru ini.

"Kita harap pentadbiran AS dapat memberikan keadilan kepada syarikat yang bertaraf antarabangsa ini yang sudah memberikan satu bantuan yang besar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebab itu kerajaan melalui MITI sudah memberi kebenaran kepada syarikat pengeluar produk perkhidmatan perubatan dan peralatan perubatan ini untuk beroperasi sepenuhnya, ketika PKP kerana permintaan di seluruh dunia untuk memastikan kita dapat menangani penularan Covid-19.

"Kita akan berbincang dan berusaha untuk meyakinkan pihak berkuasa (CBA) supaya sarung tangan (keluaran Top Glove) itu dibenarkan untuk meneruskan operasi, seterusnya dieksport ke pasaran di AS," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Kilang Texas Instruments Electronics Malaysia, di Batu Berendam, Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Top Glove juga sedang berurusan dengan CBP bagi mendapatkan penjelasan dakwaan berhubung isu buruh paksa seperti yang didakwa, sehingga mengakibatkan syarikat antarabangsa itu diletakkan dalam senarai sekatan.

Katanya, proses berkenaan adalah prosedur biasa, sebelum operasi pengeksportan ke pasaran Amerika itu dibenarkan semula.

Kelmarin, dua anak syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd berdepan larangan eksport produknya ke AS kerana dikatakan menggunakan khidmat buruh paksa.

CBP, dalam laman web rasminya meletakkan dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd dalam senarai perintah penahanan berkenaan.

Bagaimanapun, laman web CBP hanya menyenaraikan Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd tanpa menjelaskan secara terperinci bentuk tindakan yang diambil.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengadakan lawatan ke Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS)pembuatan keris dan makanan tradisional di Kampung Paya Tanjung, Umbai.

Lawatan bagi meninjau proses pembuatan produk desa itu, sempena lawatan sehari beliau ke Melaka.

Beliau diiringi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang juga Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

#kw runding, AS, Top Glove, Melaka

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 5:39 PM