GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nur Izzati Mohamad

TAMAN Siakap Seberang Jaya dekat Butterworth diisytiharkan lokaliti terbaharu wabak Chikungunya.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memohon kerjasama penduduk supaya bekerjasama bagi memastikan kawasan persekitaran kediaman masing-masing bersih.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Asmayani Khalib berkata, sebelum itu dua kawasan di daerah Seberang Perai Tengah iaitu di Flat Teluk Indah, Prai dan Taman Sri Janggus, Machang Bubok dikesan mempunyai wabak berkenaan bahkan masih aktif sehingga hari ini.

"Semburan asap pembunuh nyamuk sudah dilakukan di semua kawasan berkenaan termasuk lokaliti terbaharu wabak ini dalam membendung ia menular.

"Bagaimanapun, kita memerlukan kerjasama dari orang awam supaya dapat menjaga kebersihan dengan memastikan kediaman mereka bebas dari pembiakan jentik-jentik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, penduduk juga diminta membuat semburan asap pembunuh nyamuk atau aerosol di rumah masing-masing pada setiap jam 6 hingga 8 pagi dan 6 hingga 8 petang yang mana waktu nyamuk Aedes aktif menggigit mangsa.

"Selain itu, penggunaan ubat nyamuk juga digalakkan untuk membasmi penularan wabak ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai simptom antaranya demam diminta mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 7:09 PM