Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuhainy Zulkiffli


SEBANYAK tiga kes positif Japanese Encephalitis (JE) dikesan di Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga 7 Julai lalu.

Kes pada minggu epid 27 itu disahkan menerusi ujian makmal yang dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.

JKN negeri dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak dua kes dikesan di Seberang Perai Selatan dan satu lagi di daerah Barat Daya.

Terdapat tiga kes disyaki JE yang dilapor kepada JKN, namun pengesahannya perlu menunggu keputusan ujian makmal.

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Selatan dan PKD Barat Daya sudah melakukan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk, semburan 'larvasiding' dan semburan kabus di lokaliti berkenaan pada 23 dan 24 Jun lalu, iaitu dalam tempoh 24 jam selepas kes dilaporkan.

"Ia dilakukan bagi memutuskan rantaian jangkitan dengan membunuh jentik-jentik dan nyamuk Culex dewasa yang membiak di takungan air kotor seperti dalam air kumbahan binatang ternakan, longkang atau parit tersumbat," katanya.

Sehubungan itu, JKN Pulau Pinang menasihati orang ramai supaya mengambil langkah bagi menghentikan penularan dengan melakukan pemeriksaan di rumah dan kawasan sekitar demi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

Bahan pembunuh jentik-jentik nyamuk juga boleh diperoleh daripada klinik kesihatan kerajaan.

Orang ramai jug dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan jika mengalami demam dan gejala penyakit JE seperti sakit kepala, sawan atau perubahan neurologi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 11:39 AM