GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


AKIBAT kemaruk mahu memenangi hadiah tiket loteri nombor ekor berjumlah RM1.8 juta, seorang pekerja syarikat pembaikan motosikal kerugian RM132,827 ditipu 'bomoh siam' sejak sebulan lalu.

Mangsa lelaki berusia 33 tahun itu mula terpedaya apabila mendapat panggilan melalui Whatsapp mengatakan bahawa dia memenangi hadiah berkenaan, namun perlu membuat beberapa bayaran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa sebelum itu pernah meninggalkan nombor telefonnya di laman sosial Facebook pada iklan didakwa daripada bomoh siam.

Katanya, mangsa bertindak sedemikian apabila dimaklumkan bomoh siam berkenaan mampu menyelesaikan masalah kewangannya.

"Tidak lama selepas itu mangsa mendapat panggilan dari dua orang suruhan bomoh siam terbabit melalui Whatsapp yang mengatakan dia memenangi tiket loteri nombor ekor berjumlah RM1.8 juta namun perlu membuat beberapa bayaran.

"Tanpa sedar dirinya ditipu, dia yang teruja apabila diberitahu dengan hadiah kemenangan berkenaan terus membuat 19 transaksi berjumlah RM132,827 ke dalam akaun orang suruhan bomoh siam itu sejak sebulan lalu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa memberitahu bahawa kesemua bayaran yang dibuatnya adalah seperti bil hospital, derma, tempat sembahyang, membeli colok, patung berhala dan pelbagai peralatan berkaitan upacara keagamaan.

"Mangsa akhirnya sedar dirinya ditipu selepas mereka meminta lagi bayaran tambahan dan terus datang membuat laporan polis semalam apabila mendapat pandangan dari rakannya," katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mengalami kerugian RM16,493.54 ditipu sindiket Skim Cepat Kaya.

Noorzainy berkata, remaja itu berminat untuk membuat pelaburan yang menawarkan pulangan keuntungan berlipat kali ganda hanya dalam tempoh 12 jam.

"Kejadian bermula ketika mangsa melayari Facebook sebelum ternampak iklan skim pelaburan sebuah syarikat yang kononnya mendapat lesen dari Bank Negara Malaysia untuk menjalankan aktiviti pelaburan dalam negara secara sah serta menjanjikan pulangan keuntungan dalam tempoh yang singkat.

"Mangsa kemudian berkomunikasi dengan seorang wanita yang mengatakan dirinya penasihat kewangan melalui Whatsapp lalu terperangkap dengan pujukan supaya dia membuat pelaburan yang akhirnya memakan diri sendiri," katanya.

Noorzainy berkata, mangsa membuat bayaran seperti yang dikehendaki sebelum sedar dirinya ditipu dan melaporkannya kepada polis semalam.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 11:39 AM