Zaid Salim


SERAMAI 27 tekong dan awak-awak Vietnam ditahan menerusi Ops Iman oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di perairan Terengganu, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, semua mereka berusia 18 hingga 53 tahun itu ditahan dalam dua bot nelayan di 134.6 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu, kira-kira 50 batu nautika dari sempadan antarabangsa.

Katanya, bot berkenaan dikesan menangkap ikan menggunakan kaedah tunda gading pada 8.45 malam dan 9 malam.

"Menyedari kehadiran Kapal Maritim (KM) Langkawi, nelayan Vietnam terbabit memutuskan tali pukat sebelum melarikan diri ke sempadan perairan.

MUHAMMAD Suffi (kanan) dan pegawainya ketika meninjau tahanan warga Vietnam hari ini. FOTO Ghazali Kori.
MUHAMMAD Suffi (kanan) dan pegawainya ketika meninjau tahanan warga Vietnam hari ini. FOTO Ghazali Kori.

"Namun mereka gagal dan sempat dipintas. Anggota merampas dua tan ikan baja, satu tan ikan campur, 60 kilogram sotong kering dan 6,000 liter diesel serta peralatan menangkap ikan yang keseluruhannya bernilai RM2 juta termasuk kapal," katanya pada sidang media, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, difahamkan terdapat nelayan asing yang mencampakkan tali ke dalam laut bertujuan menyekat pergerakan pihak berkuasa, namun taktik itu belum lagi dikesan di negeri ini.

Katanya, semua nelayan asing itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia selain Akta Imigresen 1985 kerana tidak memiliki dokumen sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 6:54 PM