ANTARA rumah penduduk yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA rumah penduduk yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Rashidi Yusuf.


LIMA sekeluarga terpaksa dipindahkan ke tempat selamat apabila rumah mereka di Kampung Bukit Buluh dekat Pengkalan Hulu dinaiki air hampir satu meter akibat banjir kilat, hari ini.

Selain lima sekeluarga itu, empat lagi penduduk di Kampung Kuak Tengah turut dipindahkan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu bermula 5.30 petang.

Komander Operasi, Penolong Pegawai Bomba dan Penyelamat, Shahirul Anwar Abd Azam berkata, dalam kejadian di Kampung Bukit Buluh, sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi mendapati sebuah rumah penduduk dinaiki air separas hampir satu meter.

"Paras air setinggi satu meter, lima mangsa di rumah yang dilanda banjir kilat itu diselamatkan dan dipindahkan ke rumah saudara yang terletak di kawasan selamat.

"Operasi masih dijalankan dan setakat ini pusat pemindahan banjir belum dibuka," katanya.

Shahirul Anwar berkata, banjir kilat itu berlaku selepas hujan lebat beberapa jam di bahagian hulu sungai dan tiga kampung terbabit, dengan dua lagi Kampung Kuak Tengah dan Kampung Bukit Serdang.

Operasi masih dijalankan di Kampung Bukit Buluh dan Kuak Tengah, manakala di Bukit Serdang pemantauan sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 11:13 PM