KEPTEN Zainul Rashid Abdulah menyerahkan panji-panji TLDM kepada Mat Izan Mohayat selepas pengkebumian jenazah Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Manan, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
KEPTEN Zainul Rashid Abdulah menyerahkan panji-panji TLDM kepada Mat Izan Mohayat selepas pengkebumian jenazah Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Manan, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


"ARWAH bukan sahaja dianggap wira negara, dia juga wira keluarga," kata Norhaliza Abdul Halim, 43, ibu tiri Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan, 26, yang maut dalam kemalangan di Jalan Ranau-Kota Kinabalu, Selasa lalu.

Menurut Norhaliza, arwah mempunyai sifat kasih sayang dan mengambil berat tentang tiga adik tirinya yang berusia sembilan hingga 16 tahun serta empat adik kandungnya berumur 19 hingga 25 tahun.

Katanya, kehilangan Mohamad Firdaus satu kehilangan besar kepada keluarganya.

"Tidak disangka panggilan yang diterima adiknya (Rohaina, 25,) Ahad lalu adalah yang terakhir malah arwah turut berjanji akan pulang untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha hujung Julai ini.

"Namun semua itu kini hanya tinggal kenangan yang tidak akan dapat dilupakan oleh kami apatah lagi dia pergi untuk selamanya sebaik berakhir bulan Syawal," katanya ketika ditemui di majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Manan, Kluang, hari ini.

Terdahulu, jenazah Mohamad Firdaus diterbangkan dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kira-kira 1 petang sebelum dibawa ke kediamannya di Taman Puteri pada jam 3 petang dan dikebumikan pada jam 4 petang.

Dalam kejadian jam 12.55 tengah hari itu, Mohamad Firdaus bersama dua lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Laskar Kanan PAP Maslim Abdul Rahim dan Laskar Kelas I TMK Muhammad Arif Idris maut, selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Ranau-Kota Kinabalu.

Hadir sama di majlis pengebumian Panglima Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM, Kapten Zainul Rashid Abdulah yang menyerahkan panji-panji TLDM kepada Mat Izan Mohayat, bapa Allahyarham Mohamad Firdaus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 5:42 PM