KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff (kiri) ketika mendapatkan maklumat daripada Teo Ming Chai (dua dari kiri) berkaitan adiknya Teo Ming Hock yang dilaporkan hilang sejak semalam. FOTO IHSAN BOMBA
KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff (kiri) ketika mendapatkan maklumat daripada Teo Ming Chai (dua dari kiri) berkaitan adiknya Teo Ming Hock yang dilaporkan hilang sejak semalam. FOTO IHSAN BOMBA
Adnan Ibrahim


SEORANG lelaki yang berdepan masalah kemurungan hilang ketika menjenguk kebun duriannya di Kampung Seri Kenangan, Simpang Renggam dekat Kluang, 3 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, Teo Ming Hock, 50, keluar rumah untuk menjenguk kebun duriannya kerana bimbang berikutan banyak kejadian kecurian raja buah itu.

"Kehilangan mangsa dilaporkan abangnya, Teo Ming Chai yang berusia 50-an di Balai Polis Simpang Renggam, 2.45 petang semalam.

"Pasukan penyiasat diketuai Sarjan Yazid Maazin kemudiannya ke lokasi kejadian," katanya hari ini.

Bagaimanapun, menurut Mohd Abduh, hasil siasatan awal mendapati, tiada unsur jenayah ditemui.

Katanya, mangsa mengalami masalah kemurungan dan mempunyai sejarah rawatan berkaitan masalah terbabit.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya dijalankan bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 3," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Renggam Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata, usaha sedang dijalankan bagi mengesan mangsa di kawasan seluas kira-kira 10 hektar.

"Kami masih meneruskan operasi SAR, usaha menghubungi nombor telefon bimbit mangsa juga gagal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 2:02 PM