MAYAT mangsa dibawa ke hospital. FOTO Ihsan Polis
MAYAT mangsa dibawa ke hospital. FOTO Ihsan Polis
Adnan Ibrahim


SEORANG daripada dua remaja yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus di Sungai Kampung Sahari, Simpang Renggam dekat Kluang, petang semalam, ditemui lemas, hari ini.

Mangsa, Muhammad Ammar Mazeni, 13, ditemui di Sungai Berumbong kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian, 5.20 pagi.

Mayat ditemui oleh pihak berkuasa dan penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas mereka menyusuri sungai bermula dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa sudah dikenal pasti bapanya, Mazeni Kasman, 46.

Katanya, pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Simpang Renggam yang berada di tempat kejadian mengesahkan kematian mangsa.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat.

“Seorang lagi mangsa, Mohd Danish Mirzan Mohamad Said,16, masih belum ditemui dan SAR disambung semula pagi ini.

“Pencarian dilakukan hasil bantuan Ranhill SAJ Sdn Bhd yang membuka tiga pintu empangan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam kira-kira jam 11.30 malam tadi menyebabkan air surut lebih cepat,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, jenazah mangsa dituntut keluarga dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ithnin Maarof.

Dalam kejadian 6.10 petang semalam, sekumpulan pelajar Sekolah Tahfiz Assidiq Gurfan mandi sungai di kampung itu sebelum dua daripada mereka hilang akibat dihanyutkan arus deras.

Enam lagi berjaya menyelamatkan diri.

Berita berkaitan

[UPDATE] Akur kehendak takdir

2 remaja dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 10:59 AM