PENGUSAHA majlis perkahwinan yang tersepit sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO NSTP
PENGUSAHA majlis perkahwinan yang tersepit sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


PERSATUAN Pengusaha Majlis Perkahwinan (PPMPM) sudah menghantar cadangan prosedur operasi standard (SOP) majlis perkahwinan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Presidennya Zarinah Mohideen berkata, cadangan itu dihantar kepada Perdana Menteri dan kementerian terbabit seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kami juga bekerjasama dengan Persatuan Kesihatan dan Keselamatan Industri Malaysia (Misha) ketika menyediakan SOP ini yang menitikberatkan keselamatan dan kesihatan tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan dengan normal baharu.

"Ia disediakan dalam bentuk bertulis dan video yang menggambarkan situasi sebenar apabila majlis perkahwinan diadakan dengan SOP yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, Zarinah berkata, pihaknya berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan itu dan membenarkan majlis perkahwinan diadakan.

Katanya, kebenaran itu akan memberi nafas baharu kepada pengusaha majlis perkahwinan yang tersepit sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dianggarkan 200,000 pekerja Islam dan Bumiputera akan hilang pekerjaan jika industri perkahwinan masih tidak dibuka menjelang Julai ini.

"Ramai pengusaha majlis perkahwinan Islam dan Bumiputera akan gulung tikar jika keadaan ini masih berterusan," katanya.

Menurutnya, dianggarkan 150,000 majlis perkahwinan tertangguh sepanjang penguatkuasaan PKP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 5:43 PM