ZARINAH (kiri) bersama pekerjanya membuat persiapan menyusun peralatan katering untuk pengantin selepas tidak beroperasi sejak tiga bulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ZARINAH (kiri) bersama pekerjanya membuat persiapan menyusun peralatan katering untuk pengantin selepas tidak beroperasi sejak tiga bulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: "Industri perkahwinan kini cukup nazak dan diibaratkan 'nyawa-nyawa ikan'. Malah dianggarkan lebih 200,000 pekerja dalam industri ini terjejas dan dijangka akan hilang pekerjaan susulan pandemik Covid-19," ujar Pengarah Urusan Zarlith Events & Management Sdn Bhd, Zarinah Mohideen.

Menurutnya, ramai individu yang terbabit dengan kerjaya menguruskan perkahwinan dan katering sukar untuk bertahan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan.

"Bayangkan, jika kami pemain industri utama sukar untuk bertahan, apatah lagi pengusaha perkahwinan kecil-kecilan. Ramai mereka terpaksa 'gulung tikar'.

"Kami akui pandemik Covid-19 ini menjejaskan semua sektor perniagaan dan kami terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membayar gaji pekerja dan kos sewa premis.

"Bayangkan jika sektor ini masih tidak dibenarkan beroperasi, dianggarkan 200,000 pekerja dalam industri ini akan kehilangan pekerjaan," katanya kepada Harian Metro tadi.

Menurutnya, industri perkahwinan untuk masyarakat Melayu sahaja menyumbang lebih RM10 bilion setahun kepada ekonomi negara.

"Dianggarkan 300,000 perkahwinan diadakan di negara ini setiap tahun.

"Pandemik Covid-19 menyebabkan sebanyak 300 majlis perkahwinan terpaksa ditangguhkan tahun ini.

"Kami berharap kebenaran kerajaan membuka semula industri ini dengan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu mampu menyelamatkan ramai pemain industri ini," katanya.

Menurutnya, beberapa pengusaha lain sudah mengemukakan cadangan SOP kepada kerajaan dan bersedia untuk mengikuti SOP dengan norma baharu.

"Kami betul-betul berharap sekurang-kurangnya ada tarikh ditetapkan (kebenaran mula beroperasi) supaya pelanggan kembali yakin.

"Ada pelanggan yang meminta semula wang pendahuluan dibayar mereka sebelum ini. Malah ramai pengusaha tertekan ketika ini berikutan tidak mendapat kerjasama daripada tuan tanah yang enggan memberi diskaun sewa premis," katanya yang masih mengekalkan 120 pekerja tetapnya sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 7:37 PM