PETUGAS SPR melakukan persiapan pada lawatan SPR bagi hari penamaan calon PRK Dewan Undangan Negeri N. 23 Chini di IKBN Pekan hari ini. FOTO Bernama
PETUGAS SPR melakukan persiapan pada lawatan SPR bagi hari penamaan calon PRK Dewan Undangan Negeri N. 23 Chini di IKBN Pekan hari ini. FOTO Bernama
Abdul Razak Raaff


SUASANA proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pekan pagi ini, menyaksikan normal baharu dalam perjalanan pilihan raya di negara ini, tenang dan berjalan lancar.

Pemeriksaan ketat dilakukan pihak berkuasa di pintu masuk ke IKBN dengan pemeriksaan suhu serta mengehadkan jumlah kehadiran.

Mereka yang dibenarkan berada di pusat penamaan calon turut diwajibkan memakai pelitup muka dan diminta mematuhi penjarakan sosial.

Cecair pembasmi kuman turut disediakan di beberapa khemah di sekitar dewan utama.

Proses penamaan yang akan bermula pada 9 pagi ini dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Bagaimanapun hanya calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka dibenarkan masuk ke dalam dewan utama itu bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Selepas itu, Pegawai Pengurus PRK, Datuk Zaliza Zulkipli akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada 11 pagi.

Bagi penyokong parti pula, mereka tidak dibenarkan mengiringi calon dan hanya boleh berada 1.5 kilometer dari dewan itu bagi menjaga penjarakan sosial ketika PRK berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

SPR turut memutuskan beberapa pindaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) khas untuk PRK DUN Chini yang diumumkan sebelum ini, antaranya memberi kelonggaran kepada calon dan parti untuk berkempen secara berceramah dengan kapasiti tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tempat serta terhad di premis tertutup sahaja.

Penganjur hendaklah memastikan pematuhan peraturan sedia ada serta SOP penjarakan sosial, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan pengambilan rekod kehadiran yang teratur.

Bagi aktiviti kempen dari rumah ke rumah pengundi dan jelajah mesra pula, hanya tiga orang sahaja dibenarkan sama ada calon atau penyokong parti pada satu-satu masa dan tempat.

Aktiviti bersentuhan atau bersalaman dengan bakal pengundi sama sekali tidak dibenarkan dan calon serta wakil calon yang terbabit dengan kempen ziarah dari rumah ke rumah dan program jelajah mesra perlu mematuhi peraturan sedia ada dengan mengamalkan jarak satu meter, memakai pelitup muka dan penggunaan pensanitasi tangan serta merekodkan senarai rumah yang dikunjungi.

Calon juga digalak memaksimumkan kaedah kempen secara dalam talian atau melalui saluran media sosial.

PRK Chini kali ini menyaksikan Barisan Nasional (BN), mempertaruhkan anak jati peneroka FELDA Chini, Mohd Sharim Md Zain, 41, sebagai calon yang dijangka berdepan calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada PRU-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon Pas Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

SPR menetapkan pengundian awal bagi PRK DUN Chini pada 30 Jun manakala hari mengundi pada 4 Julai membabitkan 20,990 pengundi.

Berita berkaitan:

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 8:24 AM