GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


JUAL dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 palsu pada harga RM120 kepada warga asing yang memerlukan dokumen berkenaan.

Itu kegiatan haram dilakukan lima individu yang dikesan mengaut keuntungan mudah hasil kegiatan dilakukan sejak April lalu.

Ahli sindiket termasuk dalang bagaimanapun diberkas polis dalam tiga serbuan berasingan di Seksyen 25 Shah Alam dan Klang, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan itu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, suspek menjual dokumen itu kepada warga asing kononnya akan memudahkan mereka mencari pekerjaan.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan jam 6.30 petang di rumah di Taman Sri Muda Seksyen 25 di Shah Alam.

Katanya, polis menahan lelaki berusia 58 tahun selepas suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi berperanan sebagai ejen untuk mencari pelanggan dan menawarkan perkhidmatan (pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19) kepada warga asing atau majikan yang menggaji pekerja asing.

"Bertindak atas maklumat suspek pertama, polis kemudian menyerbu lagi sebuah rumah di Klang dan menahan dua lelaki warga India serta dalang sindiket membabitkan lelaki warga asing bertaraf penduduk tetap.

"Mereka disyaki berperanan sebagai pengubah suai dan mencetak dokumen palsu berkenaan," katanya.

Baharudin berkata, siasatan lanjut ke atas keempat-empat suspek itu membawa kepada serbuan ketiga di sebuah premis perniagaan di Pandamaran, Klang.

"Polis menahan seorang wanita warga India yang dipercayai diupah untuk menghasilkan dokumen palsu berkeputusan negatif ujian saringan Covid-19 daripada hospital swasta.

"Kita masih menyiasat jumlah sebenar warga asing yang sudah membeli dokumen palsu itu dan sedang menjejaki saki baki ahli sindiket berkenaan.

"Semakan lanjut ke atas suspek mendapati, tiga warga India itu tidak mempunyai pasport manakala kedua-dua lelaki tempatan tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Katanya, selain memalsukan dokumen keputusan ujian saringan sindiket itu didapati turut menjual pasport dan visa pelbagai negara yang dipercayai palsu dengan harga RM50 kepada pendatang asing dan juga majikan.

Tambahnya, polis merampas kira-kira 80 pasport India, Nepal, Filipina dan Indonesia disyaki palsu selain pelbagai barangan lain antaranya salinan visa, kad-kad imigresen, kertas percetakan, komputer riba, komputer, mesin pencetak, telefon bimbit, buku bank serta beberapa laporan keputusan ujian saringan Covid-19 dipercayai palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 4:53 PM