MASJID Hidayah dibuka hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
MASJID Hidayah dibuka hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


MASJID pertama Orang Asli di Kelantan, Masjid Hidayah di Pos Hendrop, Gua Musang dibuka untuk solat Jumaat hari ini selepas tiga bulan ditutup susulan Covid-19.

Imam masjid itu, Arif Rami berkata, persiapan sudah dilakukan sejak dua hari lalu terutama membuat garis penanda penjarakan sosial pada saf.

"Alhamdulillah, hari ini dapat kita solat Jumaat semula, tetapi semua ahli jemaah kena ikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Kita sudah menerima maklum daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berhubung perkara itu," katanya, hari ini.

Arif berkata, jemaah bersolat dikurangkan berbanding kapasiti biasa bagi memenuhi perintah penjarakan sosial dan keutamaan diberikan kepada jemaah Orang Asli dewasa.

Susulan kebenaran pembukaan masjid, pengurusan turut mengatur semula jadual aktiviti keagamaan supaya memenuhi SOP.

Masjid Hidayah satu-satunya masjid di Gua Musang bagi Orang Asli untuk mendalami Islam dan mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 10:44 AM