SEBAHAGIAN dadah, daun ketum dan MPV yang dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi. FOTO Ihsan Polis Marin.
SEBAHAGIAN dadah, daun ketum dan MPV yang dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi. FOTO Ihsan Polis Marin.
BERNAMA

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi menahan dua lelaki dan merampas 100kg daun ketum serta dadah jenis heroin seberat 43.1 gram dalam satu serbuan di Jeti Marble, Langkawi semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Satu Langkawi, DSP Rohizan Mohamad Saaid berkata, tangkapan dan rampasan pada 2.00 pagi itu dilakukan sepasukan anggota ketika melaksanakan penugasan Op Benteng Covid.

Beliau berkata, terdahulu semasa melaksanakan penugasan itu, anggota PPM Wilayah Satu mengesan sebuah MPV jenis Perodua Alza yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir kereta di lokasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, anggota PPM Wilayah Satu telah menjumpai dua bungkusan plastik berisi serbuk ketulan warna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 43.1 gram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia kemudiannya membawa kepada pemeriksaan lanjut ke atas sebuah bot jenis fiber berwarna biru di Jeti Marble, yang ada kaitan dengan kedua lelaki berkenaan, dan pihaknya menemui 13 bungkusan plastik berwarna hitam berisi daun ketum seberat 100 kg.

Rohizan berkata, kedua-dua lelaki berusia 37 tahun itu dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Satu Langkawi bersama barangan rampasan seperti daun ketum, heroin, sebuah MPV jenis Perodua Alza, bot fiber serta wang tunai untuk siasatan lanjut.

"Barangan rampasan dianggarkan bernilai RM67,120. Hasil ujian saringan, kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan Mop, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagihan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 11:55 AM