BANJIR mulai surut di kawasan Taman Bangi Ria. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
BANJIR mulai surut di kawasan Taman Bangi Ria. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Bangi: Lebih 20 tahun menetap di Kampung Bangi Tambahan di sini, Mohd Zaidi Mohd Arif sudah 15 kali berdepan banjir, termasuk yang paling buruk hingga mencecah bumbung.

Awal pagi tadi, kediamannya sekali lagi terjejas bersama lebih 80 rumah penduduk lain apabila berlaku limpahan air akibat hujan lebat sejam malam.

Kata Mohd Zaidi, 43, dia bersama isteri dan tiga anak berumur antara 11 hingga 17 tahun sedang tidur apabila dihubungi jiran kira-kira 3 pagi yang memaklumkan air naik.

"Nasib baik saya sudah meletakkan kenderaan di kawasan tinggi pada 2 pagi kerana bimbang melihat hujan lebat sehingga 1 pagi.

"Melihat air naik cepat, saya arahkan anak dan isteri keluar dari rumah kira-kira 4 pagi, sebelum bomba yang datang menaiki bot beritahu air sudah cecah paras bumbung rumah," katanya ketika ditemui.

Pemandu van itu berkata, banjir paling buruk dialami pada Disember 2021 apabila air mencapai lebih dua meter dan tiada barang yang dapat diselamatkan.

RUMAH penduduk di sekitar Bangi yang terjejas banjir selepas hujan lebat awal pagi tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
RUMAH penduduk di sekitar Bangi yang terjejas banjir selepas hujan lebat awal pagi tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.

"Apabila sudah cecah paras siling, memang tidak ada barang di rumah yang dapat diselamatkan walaupun ia disimpan di tempat tinggi... semuanya tenggelam," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Masitah Ghazali, 31, berkata, dia menyedari kawasan kediamannya di Taman Idaman Bangi mula dinaiki air apabila dihubungi jiran pada 5.30 pagi.

"Saya jenguk luar tingkap dan nampak air sudah memasuki pekarangan rumah. Saya dan suami bergegas memindahkan barangan elektrik ke tingkat atas rumah," katanya.

Katanya, sebelum tidur dia sempat memindahkan sedikit barang ke tingkat atas kerana bimbang melihat hujan lebat yang bermula 6 petang semalam.

"Walaupun selepas itu hujan berhenti sekejap, tetapi hujan lebat pula pada awal pagi tadi," katanya yang memberitahu rumahnya digenangi air pada 7 pagi menyebabkan mereka panik.

Katanya, seorang daripada dua anaknya berusia lima dan tiga tahun ketakutan apabila melihat air naik cepat walaupun ia surut beberapa jam kemudian.

"Saya baru pindah ke rumah ini pada 2020 dan memandangkan kawasan perumahan ini masih baru lagi, ada rumah yang masih kosong.

"Ini kali kedua kawasan ini dilanda banjir dengan kali pertama berlaku pada Disember 2021," katanya yang juga suri rumah.

AIR naik hingga mencapai paras bumbung rumah penduduk. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
AIR naik hingga mencapai paras bumbung rumah penduduk. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.

Sementara itu, Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Hulu Langat, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, dianggarkan 50 peratus daripada 100 rumah di Kampung Bangi Tambahan masih digenangi air sehingga 12 tengah hari tadi.

"Dua pegawai dan 13 anggota Zon 4 Hulu Langat serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Kajang, Semenyih dan Bandar Tun Hussein Onn membantu operasi memindahkan mangsa.

"Kita gerakkan beberapa aset ke lokasi termasuk sebuah jentera FRT dan ambulans selain empat kenderaan pacuan empat roda serta empat bot," katanya ketika ditemui di Kampung Bangi Tambahan.

Shahrin berkata, seramai 82 mangsa yang diselamatkan pihak bomba menggunakan bot, manakala kira-kira 50 lagi mangsa keluar sendiri daripada kediaman.

"Ketika ini kita memasuki fasa pemulihan dengan operasi bertumpu kepada aspek kebajikan termasuk penyaluran makanan kepada mangsa banjir.

"Pada masa sama, kita akan meneruskan pemantauan di kawasan ini termasuk sungai," katanya yang memberitahu mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi.

Beliau berkata, proses pemindahan masih berjalan memandangkan dua PPS sebelum ini iaitu Balai Raya MPKK Kampung Bangi dan Tadika Perpaduan Taman Bangi Ria ditutup kerana jumlah mangsa yang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 2:43 PM